Assalamualaikum wbt
Ramai pula tanya saya macam mana simpan duit nak kahwin padahal baru sahaja bekerja. Saya dan tunang saya, masing-masing baru kerja dalam setahun lebih. Maklumlah, fresh graduate gajinya bukan mahal sangat. Orang kata cukup makan. Kalau kira gaji kami di KL ni, hm.. Mungkin miskin. Tapi setakat ini, alhamdulillah. Masih cukup lagi
Apa-apa pun, setiap impian pasti ditukarkan dengan sesuatu. Sesuatu ialah sebuah pengorbanan dan pengorbanan itu terdiri dari pelbagai cara. Salah satu cara kami adalah menyimpan dan jimat.
Orang muda darah panas, suka ikut nafsu. Tidak ramai yang buat saving secara bersungguh-sungguh. Duit dihabiskan dengan peralatan elektronik yang canggih-canggih seperti telefon bimbit yang mahal, ipad dan apa-apa yang sejenis dengannya. Pernah saya dengar radio, orang muda ramai muflis. Malah ada yang umur baru 23 tahun, tetapi sudah mempunyai dua buah kereta. Akhirnya beliau tak mampu nak bayar dua buah kereta itu dan juga tak mampu nak buat pinjaman pribadi untuk perkara lain. Kami? Pakai telefon buruk, baju lama-lama. Jarang benar beli baju baru apatah lagi baju mahal. Semua sebab nak jimat untuk simpan duit kahwin.
Apabila jumpa pasangan/calon yang sesuai, duduk berbincang dan buat planning untuk melangkah ke tangga yang lebih tinggi. Zaman sekarang bukan macam zaman dulu. Sekiranya betul-betul ingin berkahwin kena ambil sedikit masa untuk untuk kumpul duit.
Langkah-langkah menyimpan duit tabung perkahwinan :
1. Setkan target. Contoh, dalam masa setahun sekurang-kurangnya anda dan pasangan sudah mempunyai RM10k. Boleh bahagi, mungkin pihak lelaki 60%, pihak perempuan 40% atau 50%-50% dan sebagainya.
2. Tidak buat pinjaman pribadi. Jangan bebankan hidup kita dengan hutang. Mulakan kehidupan sebagai suami isteri dengan hutang adalah langkah yang kurang bijak. Hutang belajar pun tak habis lagi, inikan pula tambah hutang kahwin.
3. Bezakan antara keperluan dan kemahuan setiap kali ingin beli barang supaya kita boleh jimat.
4. Jangan terlalu dengar kata orang, hantaran sikitlah. Murahlah dan sebagainya. Ingat, Rasulullah saw bersabda, sebaik-baik wanita adalah yang rendah maharnya. Maka berpegang teguhlah dengan kata-kata Rasulullah saw ini.
5. Banyakkan bersedekah. Saya yakin, dengan banyakkan bersedekah, Allah akan banyak tolong kita. Mungkin tak nampak dengan mata kasar tapi Allah tolong permudahkan urusan-urusan lain kita, Insyallah.
6. Berbincang dengan keluarga. Minta tolong keluarga sponser apa yang mereka mampu.
Langkah-langkah ini adalah antara praktikal kami selama setahun untuk buat simpanan kahwin. Mungkin kecil di sisi orang lain. Tapi ini simpanan sendiri, bukan pinjaman.
Setiap kali dapat gaji, cuba try an error. Asingkan dulu duit simpanan dan tolak semua perbelanjaan. Contoh, gaji bersih anda adalah RM2,000 (sudah tolak KWSP dan SOCSO) anda bercadang untuk menyimpan sebanyak RM400 sebulan. Sekiranya sesuai dan tidak terlalu berat untuk perbelanjaan setiap bulan, tetapkan wang simpanan sebanyak itu setiap bulan. Kalau RM400 seorang sebulan sudah jadi RM800. Setahun kita mampu ada duit simpanan sebanyak RM9,600. Syaratnya, kena berdisiplin dalam menyimpan.
Zaman sekarang kalau nak kahwin awal jangan biarkan lelaki saja simpan duit. Kita sebagai wanita perlu tolong dan sama-sama simpan. Kita semua tahu, perbelanjaan perkahwinan hari ini sangat mahal. Nak mewah boleh. Tapi berapa lama kita akan bercinta dengan seseorang tersebut tanpa pertalian yang halal?
Melainkan anda berjumpa dengan mereka yang sudah bersedia dari segi kewangan. Anda tidak perlu lagi fikir sebagaimana saya fikir : )
Tak susah dan tak terlalu mudah nak kahwin awal. Semua harus bermula dengan perancangan rapi. Apa yang penting, kita kena tunjuk kat keluarga yang kita mampu nak kahwin. Bukannya nak kahwin, tapi baru ada duit simpan 2K.